Monday, November 10, 2008

Wajarkah Dr. Sheikh Muszaphar terima bayaran tinggi?

Isu Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (Dr SMS) yang dikatakan menerima bayaran mahal bagi setiap kemunculan beliau pada sesi ceramah kini hebat diperkatakan. Beliau didakwa menerima bayaran sehingga RM8000 sejam. Kini dengan penampilan kepada lebih 150 sesi ceramah, Dr SMS dipercayai memiliki kekayaan bernilai RM1.2 juta. Isu tersebut yang sebelum ini dipercayai dicetuskan oleh sebuah akhbar parti politik kemudiannya diulas oleh pihak majikan Dr. SMS sendiri iaitu Menteri dan Timbalan Menteri MOSTI. Beberapa hari selepas itu Dr. SMS tampil dengan kenyataan bahawa dakwaan beliau memiliki kekayaan hasil ceramah sebanyak RM1.2 juta adalah tidak benar.
Pada pendapat saya, sebagai Angkasawan yang dihasilkan oleh kerajaan, Dr SMS adalah terikat dengan terma-terma kontrak bersama MOSTI. Beliau harus menjalankan tugas mempromosi sains angkasa kepada masyarakat sejajar dengan misi negara yang mahukan lebih banyak lagi rakyat negara ini meneroka bidang sains angkasa. Pada hemat saya Dr. SMS telah mampu melonjakkan minat dan keinginan rakyat khususnya golongan pelajar untuk menceburi bidang tersebut.
Saya ingat satu peristiwa pada 1998 di mana saya telah mengendalikan program ceramah motivasi pelajar sekolah rendah di SRK Simpang Empat Kangkong, Kedah Darul Aman. Dalam sesi 4 jam ceramah (2 sesi) saya telah membuat Latihan Dalam Kumpulan kepada semua pelajar terbabit (tahun 4 - 6). Tajuk LDK ialah berkaitan Cita-cita dan Minat Kerjaya. Saya bersama rakan-rakan Fasilitator telah memilih 10 jenis kerjaya dan menuliskannya di atas kertas A4 berwarna merah. Kemudian kami tampalkan pada 10 batang pokok di sekeliling sekolah tersebut. Saya beri tempoh 15 minit untuk semua pelajar memilih kerjaya yang mereka minati. Selepas tempoh tersebut saya panggil semua untuk berkumpul.
Tiba-tiba terdapat sekumpulan 4 orang pelajar yang tidak ada pilihan kerjaya. Maka saya tanya kepada setiap enam orang tersebut mengapa tidak buat pilihan. Terdapat 2 orang pelajar ingin jadi Engineer sedangkan saya tullis JURUTERA. Kemudian terdapat seorang peserta tidak buat pilihan kerana rupa-rupanya dia masih tidak boleh membaca (tahun 4) dan akhirnya memilih kerjaya ahli Perniagaan. Seorang lagi peserta yang terakhir memberikan jawapan pilihan yang mengejutkan kerana saya tidak letakkan kerjaya tersebut. Nama pelajar ini Zafran, tahun 5. Dia kata dia tak boleh buat pilihan kerana kerjaya ANGKASAWAN tidak diletakkan di mana-mana pokok oleh saya. Pada masa itu saya amat terkejut (campur malu) kerana ada seorang anak kecil dari sekolah kampung yang dengan yakin ingin jadi angkasawan. Peristiwa itu turut disaksikan oleh penduduk kampung yang menyaksikan sesi tersebut. Ada ibu bapa atau abang serta kakak peserta yang turut berlari dari satu pokok ke pokok lain untuk memilih kerjaya.
Setelah saya selidik selepas sesi, barulah saya sedari bahawa adik Zafran tadi adalah anak saudara kepada Tan Sri Tajudin Ramli, Pengerusi MAS pada masa itu. Tan Sri Tajudin telah banyak memberi sumbangan kepada sekolah tersebut termasuklah kos kursus pada hari itu. Jadi saya fikir tidak hairanlah adik Zafran ingin jadi Angkasawan kerana mendapat banyak pendedahan berkaitan industri kapal terbang oleh pakciknya.
Namun perkara itu kini telah berubah dengan hebatnya. Kejayaan Dr. SMS ke angkasa berjaya melonjakkan keinginan rakyat. Buktinya di USM, saya turut hadir sesi ceramah beliau. Jarang ada sesi forum atau ceramah yang mampu memenuhkan dewan besar DTSP dan beberapa dewan di sebelah. lebih menarik jumlah tetamu yang ingin bertanyakan soalan lebih daripada 30 orang. Malah anak-anak kecil pun berani bertanyakan soalan.
Kebetulannya saya telah buat sesi ceramah yang hampir sama (seperti 1998) kepada sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah di Kampung Surau Hujung, Seberang Jaya, Pulau Pinang kira-kira 4 bulan yang lalu.
Keputusanyya amat mengujakan. Hampir separuh anak-anak kecil ini memilih kerjaya Angkasawan!!!. Malah mereka menjeritkan nama Dr SMS begitu kuat dan lantang walaupun tidak pernah bertemu. Memang saya akui Dr. SMS adalah selebriti. Masyarakat kena akui bahawa kita perlu selebriti dan ikon yang mampu menggerakkan masyarakat. Saya fikir tak salah Dr. SMS jadi selebriti asalkan kesannya bagus kepada pembangunan masyarakat. Mengapa dipertikaikan Dr. SMS menghimpun kemewahan (jika benar) hasil ceramah beliau kerana beliau juga telah berkorban mempertaruhkan nyawa serta keselamatan diri demi negara. Kemudiannya, sejak pulang ke bumi Dr. SMS telah menyerahkan dirinya kepada masyarakat.
Hidupnya ditentukan oleh jadual yang ketat. Tempoh rehat dan tidur jadi singkat. Kehidupan peribadinya menjadi tatapan orang lain. imej negara (MOSTI) juga meningkat seiring dengan kejayaan beliau. MOSTI sewajarnya menggunakan peluang tarikan yang ada pada Dr. SMS untuk mempromosi SAINS dan TEKNOLOGI (S&T) kepada masyarakat. sebenarnya Dr. SMS ada sebut beberapa kali bahawa untuk kuasai S&T percekap Bahasa Inggeris. Maka dengan sendirinya Dr. SMS telah bantu negara memberi kefahaman rakyat untuk menerimas isu penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran S&T di sekolah. Isu tersebut bukan kecil tapi saya sebagai seorang bapa boleh terima kerana ada contoh yang baik seperti Dr. SMS.
Pada saya jangan diperbesarkan isu kemewahan atau gaya hidup Dr. SMS yang seumpama selebriti. MOSTI perlu faham bahawa media mainkan peranan besar untuk mengangkat seseorang individu menjadi selebriti. Media juga hanya memilih tokoh yang ada nilai berita untuk diangkat. Kerana itulah Ina Naim tiba-tiba glamour hanya kerana cerita putus tunang dengan selebriti ciptaan media juga iaitu Mawi. Satu lagi, mengapa tidak timbul isu Mawi dibayar sehingga RM30 ribu untuk sekali persembahan sedangkan seorang ahli profesional dan saintis yang menyabung nyawa di angkasa dipertikaikan kerana mendapat bayaran yang lebih kecil jumlahnya.
Cuma pesan saya kepada Dr. SMS ialah tidak salah jika diberi imbuhan yang tinggi asalkan pada persetujuan penganjur. Namun jika terdapat penganjur yang tidak berkemampuan seperti JKKK kampung, kelab dan persatuan belia atau sekolah rendah... janganlah ditolak terus atas alasan telah ada jemputan daripada pihak lain yang mungkin mampu membayar lebih. jika boleh sedaya mungkin pertimbangkan atau buat kuota agar semua pihak dilayan secra seimbang. Saya yakin Dr. SMS faham tentang tanggungjawab yang perlu dipikul. Jika Dr. SMS faham tentang harapan masyarakat dan kesukaran sesetengah institusi menghimpun wang untuk menjayakan sesuatu program, sudah pasti Dr. SMS faham maksud saya.
Kepada semua pihak samada pihak JKKK, sekolah atau pertubuhan belia, tugas-tugas memberi ceramah seperti Dr. SMS memang ada kos yang perlu kita tanggung. Tapi kalau ada kos yang melampau dan melebihi kemampuan kita, seharusnya kita tolak dan ketepikan sahaja daripada senarai penceramah.

Saturday, November 8, 2008

Makna Hari Cuti

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 7.53 malam. Sekejap lagi nak pergi mengadap televisyen. Bukan selalu dapat tengok tv. Apapun selagi ada peluang Buletin TV3 memang jadi pilihan. Selalunya waktu-waktu begini aku masih ada di Kedai Farmasi Permai yang letaknya tak jauh dari rumah. Tapi masalahnya kat situ tak ada tv. Dah namanya pun kedai. Kalau tak pun, selalunya waktu macam ni aku sedang bersiap-siap pergi perjumpaan atau mesyuarat belia. Bukan tak rasa letih tapi itulah rutinnya bagi semua orang yang terlibat dalam dunia NGO.

Jadi, hari ini sehari penuh kebetulannya tak ada aktiviti rasmi. Maka aku penuhkan masa dengan anak-anak. Kebetulan Amira tu esok nak celebrate birthday yang ke 6 tahun. Aduh... jenuh aku dan Lyana pilih baju princess untuk Amira kat Kompleks Bukit Jambul. Esok dia nak pakai semua macam princess, siap kasut dan gaun warna pink dan crown. Itulah dia penangan satu-satunya anak perempuan.

Esok pagi aku nak cetak kertas soalan di PPJJauh untuk persediaan peperiksaan pelajar masa minggu intensif PPJJ USM. Lepas tu, waktu tengahari aku akan mula masak mi udang untuk hidangan tetamu jam 4 petang. Aku tak jemput ramai cukuplah sekadar kawan-kawan sekelas Amira dan cikgu-cikgu. Tahun depan Amira akan mula sekolah rendah.

Aku sentiasa ingatkan anak-anak aku.... Amir, Amira, Iman dan Ikhwan (yang last ni baby lagi dia boleh dengar je la).... aku mahu anak-anak aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya papa dan mama dia mampu beri sedikit kehidupan yang selesa walaupun tidak mewah. Sebagai penggerak belia, aku sentiasa insaf dan ingat tentang ramai sahabat kita yang bergelut untuk teruskan kehidupan. Menetap di sebuah negeri yang harga sekaki tanah lebih mahal dari sekampit beras ini memang amat mencabar. Banyak yang kita perlu bantu dan beri perhatian. Kita tak mampu menghapus keseluruhan kemiskinan tapi kita mapu mengubah kitaran kemiskinan daripada seorang bapa kepada anak dan cucunya. Sebab itulah aku anggap semua kerja membantu masyarakat sebagai jihad. Selagi kita mampu kita bantu sedaya upaya mengikut kapasiti kita masing-masing.

Sebab itulah aku sedang rancang satu usaha kecil menjelang buka sesi persekolahan tahun hadapan. Aku nak mulakan usaha mengumpul buku-buku latihan dan alatulis sekolah. Bagi sesetengah ibubapa adalah sesuatu yang amat perit untuk mendapatkannya. Bulan Disember nanti bulan cuti sekolah, musim orang buat kenduri kahwin dan musim tengkujuh. Duit kena keluar banya sedangkan hasil tak seberapa. Aku harap ada kawan-kawan yang sokong.

Friday, November 7, 2008

Fokus MBNPP 2008-2010

Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) akan memberikan fokus yang mendalam kepada beberapa aspek yang difikirkan mampu memberikan kesan yang mendalam terhadap belia dan masyarakat. Antaranya ialah:-

1. Pengupayaan 3K (Kepimpinan, Kemahiran dan Keusahawanan) dalam kalangan belia,
2. Memperkasa nilai-nilai dan kemahiran Kesukarelaan,
3. Meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari,
4. Mengambil bahagian secara aktif terhadap isu-isu semasa serta hak-hak awam,
Mempergiatkan usaha-usaha penyelidikan, penerbitan dan aktiviti perbincangan dalam serta perundingan.

Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menaungi 21 badan gabungan dengan keahlian lebih 100 Ribu orang yang mewakili pelbagai kaum, latar belakang, kebudayaan serta pegangan ideologi, MBNPP akan memastikan ia mampu menjadi platform terbaik ke arah pengukuhan perpaduan kaum serta kesejahteraan rakyat.

Saya amat mengalu-alukan pandangan semua pihak berkaitan perkara di atas. MBNPP mengamalkan keterbukaan dalam menerima pandangan. Insyaallah saya akan jadikan panduan yang berguna.

Thursday, November 6, 2008

salam perkenalan

salam perkenalan dan salam perpaduan

apa khabar anak-anak muda Malaysia?
melalui blog ini diharap dapat menemukan suara anak-anak muda di seluruh negara demi manfaat bersama.
jumpa lagi........